Selasa, 20 Januari 2015

Kini yang tinggal hanya kenangan...sayang papa


Terlebih dahulu saya berharap sesiapa yang membaca coretan ini dapat menyedekahkan al Fatihah utk arwah ayahanda saya, Mod Saleh bin Othman yang telah pulang ke rahmatullah pada 15 Januari 2015 yang lalu.

Arwah pada mulanya hanya sekadar semput sahaja kemudian keluar ketumbuhan di celah ketiak kanan dan tepi muka kanan sebelum merebak ke bahagian lain. Ketumbuhan tersebut pada mulanya tidak sakit katanya tapi semakin lama tangan kanannya tidak boleh diangkat hingga terpaksa dipotong pada akhir Disember 2014. Sejak pembedahan itu, ayahanda saya seperti hilang semangat untuk hidup. Dia macam pasrah bila keadaan kesihatannya semakin merudum ditambah pula dengan semput dan batuknya. Dua kali ulang alik berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan tapi keadaan tidak berubah. Dalam tempoh itu, dia mula batuk bercampur darah hingga terpaksa dimasukkan ke wad hospital.

Di hospital selama 11 hari, masih tidak menampakkan perubahan malah kesihatannya semakin merosot dan dia sudah tidak mahu makan lansung. Semua makanan katanya berminyak, tak bagus dan pelbagai alasan. Daripada boleh berjalan, dia hanya terbaring lesu dan bergantung pada gas oksigen setiap masa. Patah hati ini melihatnya. Daripada badan yang tegap dan sasa, tubuhnya semakin kecut dan hanya tinggal tulang dan kulit sahaja. Sebagai anak, sampai ke hati nak melihat keadaan akhir hayat ayah ibu anda seperti itu? Kami adik beradik cuba mendapatkan penjelasan tentang keadaan bapa kami. Sudahlah kami tidak cukup tidur, bergilir menjaganya siang dan malam kerana dia memang tidak berdaya dan banyak meracau bila tidur. 

Doktor kata dia tidak dapat nak mengesahkan atau meneka selagi hasil ujian scan tidak diterima tapi keadaan ayahanda saya katanya pada tahap kronik. Kami adik beradik sepakat menghantar ayahanda kami scan di pakar sebelum menghantar semula ke hospital dan dari analisis tersebut, doktor mengesahkan ayahanda saya menghadap barah paru-paru tahap 4. Hancur luluh hati ini. Tiada ubat yang dapat menyembuhkan atau mengurangkan sakitnya. Kami kene redha dengan ketentuan ini. Kemo tidak dapat dilakukan kerana keadaan ayahanda kami yang tidak stabil dan semakin lemah. Kami membuat keputusan untuk membawa pulang ayahanda dengan harapan kami akan cuba rawatan alternatif utknya tapi Allah Maha Penyayang. Tak sampai seminggu kami bawa pulang, ayahanda kami meninggal ketika tidur. Seakan tidak percaya akan semua ini tapi kami redha dengan pemergiannya daripada melihat dia menderita setiap hari.

Kini tiada lagi suara dan senda gurauannya. Anak-anak saya yang rapat dengannya juga tidak lagi berpeluang bermanja dan bergurau senda dengannya. Dunia ini sementara, akhirat kekal abadi. Hingga kita bertemu lagi nanti. Saya sayang papa walaupun tak pernah diucapkan di bibir ini.