Isnin, 24 Mac 2014

Al Fatihah buat semua penumpang MH370

gambar hiasan


Saat pengumuman PM malam semalam, 24/03/2014 berkenaan perkembangan terkini tentang pesawat MAS yg hilang tu, hati dah terdetik pasti khabar yang tidak enak untuk didengar dan ternyata telahan aku benar. Pesawat tersebut telah terhempas di Lautan Hindi berdekatan dengan Perth, Australia. Itupun bukannya dekat, jaraknya beribu batu. Aku ada terbaca dan melihat sedutan kapal pencari dan penyelamat yang pergi ke lokasi yang dikatakan terjumpa papan palet dan tali pinggang tu. Sangat gerun melihat ombak yang tinggi bergulung gulung menghempas kapal. Terus diminda ku berkata, kalau beginilah agaknya, memang tak de sapa yang boleh selamat kerana kapal yang begini besar pun mampu karam dihempas ombak kuat apatah lagi manusia yang lemah lagi kecil yang ada kemungkinan waktu terhempas tu hanya bergantung pada pelampung atau barang lain yg dijadikan pelampung sementara. Hendak berjumpa daratan sangatlah mustahil kecuali ada kapal dagang yang kebetulan lalu tapi itu semua tidak terjadi. Masya allah, air mata aku mengalir. Sungguh besar kuasamu Allah. Kami hanya hambaMu yang lemah dan tak mampu melawan kuasa dan takdirMu.

Aku ada terbaca status kawanku yang mengharapkan keajaiban berlaku seperti yang berlaku pada tsunami Acheh apabila ada seorang pemuda yang terselamat hanya berpaut pada batang pokok kelapa. Pada aku, itu situasi berlainan. Laut Selat Melaka tidak sedalam dan tidak sebahaya lautan Hindi. Kalaupun ada  penumpang yang terselamat pada ketika itu, mereka pasti akan putus asa apabila keadaan sekeliling dan akhirnya mati begitu sahaja. Bahaya binatang buas seperti jerung, gelombang ombak setinggi 20-30 meter, cuaca sejuk melampau, kehausan (dehidrat) dan kelaparan. Adakah anda rasa boleh bertahan? sehari dua mungkin tapi kalau lebih seminggu..anda hanya mampu berserah kepada yang maha kuasa..saat membayangkan kesengsaraan itu pun air mata laju mengalir..

Memang sebelum ini aku sangat berharap kesemua mangsa MH370 akan selamat setelah berita mengesahkan kapal terbang itu berpatah balik dari laluan asal. Dalam hati berkata, mungkin terdampar di mana-mana pulau. Tetapi bila disahkan terhempas di Lautan Hindi yang sangat dalam dan tiada pulau berdekatan, hati rasa inilah takdir yang harus diterima dan meremuk hati ahli keluarga serta saudara mara penumpang tersebut. Sewaktu habis pengumuman tersebut, aku bukalah CNA utk mendapatkan maklum balas di Beijing pula. Saat itu hanya terdengar raungan ahli keluarga di China, seakan tidak mahu percaya akan apa yang terjadi. Kalau di Malaysia, kebanyakan keluarga terutama yang Islam telah lama redha dengan segala kemungkinan yang berlaku jadi tak de babak meraung melampau-lampau. Kalau aku di tempat ahli keluarga tu pun rasanya pasti pengsan sejurus mendengar berita tersebut. Hati mana yang tidak remuk bila orang yang kita sayang pergi untuk selamanya tapi itu adalah qada' dan qadar yg telah ditentukan Illahi. Kita cuma boleh doakan agar roh mereka yang pergi ditempatkan di kalangan orang yang syahid (bagi yang beragama islam lah). Agama lain aku tak tahu dan hari ni aku mendengar pengumuman di radio, bagi negeri Johor, Sultan telah memerintahkan agar semua bendera negeri diturunkan separuh tiang sebagai tanda menghormati pemergian mereka. Persoalan yang timbul sekarang, kenapa pesawat itu berpatah balik dan tidak mendarat di tempat sepatutnya sekiranya ada masalah teknikal sekalipun? apakah yang telah berlaku sebenarnya? kalau nak bunuh diri, kenapa nak melibatkan orang lain yang tidak berdosa. Yang ditinggalkan pastinya akan berbekas di hati. Semoga keluarga mereka tabah menghadapi hari-hari mendatang.

Note : Namun begitu, sehingga artikel ini ditulis, ramai yang masih mengharapkan keajaiban akan berlaku...


Khamis, 20 Mac 2014

Hilang kemarau timbul pula banjir

Hampir 2 bulan bumi di kawasan aku ni tidak disirami hujan. Kalau ada pun tak sampai 5 minit, mungkin akibat pembenihan hujan yang tak memberikan sebarang kesan ke atas bumi. Tapi semenjak 5 hari yang lalu, 16 Mac 2014, kawasan sekitar Johor Bahru dilimpahi hujan yang melimpah-limpah. Aku kira ramai yang sujud syukur pada hari tersebut kerana  bersyukur dengan rahmat Allah. Bukan sekadar menyejukkan bumi malah memberi manfaat kepada semua kehidupan. Alhamdulillah, setakat musim panas yang lepas, kawasan sekitar JB belum lagi terlibat dengan catuan air. Tapi kalau hujan memanjang timbul pula risau kerana banjir kilat di mana-mana dan juga kemalangan.

2 hari lepas aku menyaksikan kemalangan akibat memandu laju di dalam hujan lebat atau mengelak air bertakung. Mujur tak de kemalangan jiwa berlaku. Tapi baju aku bersusun paku di garaj kerana tak kering. Tapi aku mendengar kawan-kawan di sekitar Lembah Klang masih lagi dibelenggu dengan musim kemarau dan catuan air setiap hari hinggakan urusan seharian banyak yang tergendala. Aku harap keadaan tersebut tidak berterusan, moga rahmat Allah akan menyejuki bumi sebelah sana. insyaallah


Rabu, 19 Mac 2014

Jika anda bercadang utk menderma

Pagi-pagi ni salah seorang rakan sepejabat membuka topik cerita pagi fasal menderma utk keperluan anak-anak yatim atau orang tua-tua. Jenis keperluan bagaimana yang perlu dititik beratkan? Fokus kami pagi ni untuk anak-anak yatim dahulu. Kalau setakat derma tudung, baju dan seluar atau kasut, hampir penuh rak baju mereka kan terutama time nak masuk sekolah atau time perayaan tapi adakah kita terfikir keperluan harian seperti baju dalam, seluar dalam atau pad, ubat gigi, sabun, syampoo utk anak-anak ini dititik beratkan? mungkin pada kita ia tak berapa penting tapi pada mereka ia merupakan keperluan yang perlu digunakan sehari hari. Kalau setakat ajak mereka makan ari tu, esok lusa dorang lapar balik.

Jadi rakan sepejabat aku ni bercadang untuk mengumpul sumbangan keperluan asas untuk rumah anak-anak yatim yang terpilih. Tumpuan bukan yang popular tapi yang baru dibuka atau yang kurang mendapat tajaan dari mana-mana badan kerajaan atau NGO lain. Bila dia suarakan cadangan tu, aku pun setuju nak join. Apa salahnya berebut-rebut kutip pahala kan? tak dapat banyak menyumbang, sekurang-kurangnya aku nak lihat wajah anak-anak yatim tersebut gembira. Kalau aku kaya memang nak je sponsor setiap bulan.

Jenis-jenis keperluan yang kita boleh fikirkan untuk diberi :

* tuala wanita
* seluar dalam (pelbagai saiz)
* baju dalam (pelbagai saiz)
* kain dalam
* sabun basuh
* sabun mandi dan syampoo
* berus gigi dan ubat gigi
* bedak
* sikat dan minyak rambut
* alat permainan untuk riadah (game box)
* cadar, selimut, bantal
* tuala mandi
* selipar (pelbagai saiz)
* getah rambut
* anak tudung
* perabut baru /terpakai (katil, tilam, almari)
* hanger baju
* telekung, sejadah, tikar
* apa saja keperluan lain yang difikirkan perlu

Sebenarnya projek seperti ini telahpun dijalankan oleh sahabat sahabat aku di KL yang dinamakan pertubuhan Iqra'. Setiap kali projek yang dirancang akan diberikan budget dan kami tong tong untuk membantu menjayakan. Kalau rezeki aku lebih bulan tu, insyaallah aku akan bantu. Tapi kebanyakan yang dibantu adalah di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan utara tanahair tapi setakat ini belum yang ingin membantu di selatan pula. Kalau aku nak syorkan mereka buat, rasanya kos pasti tinggi. Johor ni kos agak tinggi. Bukan setakat tol dan minyak yang perlu difikirkan tetapi penginapan dan lain-lain. Karang over budget pulak dorang kan? Tapi aku boleh bagi cadangan je lah. Sher..kalau ko terbaca note aku ni, aku harap ko boleh bantu aku untuk merealisasikan impian aku dan kawan sepejabat aku ni. Aku pun nak tempah syurga juga..



Selasa, 18 Mac 2014

Kenapa perlu berlagak?

Aku dari dulu sampai la ni tak berapa gemar orang yang berlagak atau orang sini panggil eksyen sebab pada aku apa lah yang nak dibanggakan sangat dengan diri tu. Contohnya: kalau rasa diri tu cantik sangat..yer lah tu..tua nanti tetap kerepot gak. Kalau rasa diri tu pandai sangat, tetap jadi kuli gak sebab di atas awak ada orang lain. Kalau awak taikun besar sekalipun awak tetap seorang hamba yang menumpang rezeki dariNya. Jadi apa masalahnya awak nak berlagak sangat?

Kenapa aku cakap cam ni sebab aku makin meluat tengok kelakuan beberapa kakitangan tempat aku bekerja yang entah menyombong / berlagak tak tentu hala. Tengok orang macam kita ni tak setaraf dengannya. Cara percakapan, lenggang lengguk, penulisan apatah lagi pergaulan. Nak ditegur rasanya memang orang jenis macam tu payah nak terima nasihat jadi biarkan ajelah. Mungkin dia terlalu taksub tentang kelebihan dirinya daripada orang lain yang tak berapa ada ni kan.

Kawan aku pernah berkata, adakalanya kita terpaksa berlagak di hadapan orang lain terutama rakan sekerja yg lebih senior atau lebih arif dari kita kerana tidak mahu orang nampak kelemahan kita, jadi orang tu tidak le boleh membuli kita (buli dalam erti kata lain memperlekehkan kebolehan kita).

Berdasarkan pengalaman aku juga, aku pernah jumpa dan aku sangat kagum dan hormat pada orang yang kaya, ternama tapi sanggup meletakkan segalanya itu di tapak kaki apabila bersama orang biasa atau sanggup membantu menyiapkan tugasan bersama walaupun dia sepatutnya tak perlu lakukan itu semua.

Jadi pada pandangan peribadi aku, aku lebih suka peribadi yang simple dan tak perlu terlalu protokol atau terlalu asal boleh sangat kerana ia mencerminkan keperibadian kita di mata orang yang melihat. Jadi diri sendiri dan sentiasa cuba berfikiran positif. Aku selalu cakap dengan anak-anak aku, 'kita memang bukan orang kaya tapi kita tidak lah susah sangat sebab ada orang di luar sana yang lebih susah dan lebih memerlukan bantuan tapi tak pernah mengeluh dengan nasib diri mereka. Biarlah orang lain nak kutuk apa pun kan, cakap je dengan mereka, saya tak hairan dengan harta dunia awak sebab Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita di akhirat nanti'.

Kenapa aku cakap begitu? sebab aku tak mahu mereka terlalu memikirkan sangat hal yang remeh temeh di dunia ni. Orang yang berbuat baik dijanjikan syurga untuk mereka, jadi apa yang lebih baik dari itu? nak ceritakan secara panjang lebar untuk kanak-kanak bawah 10 tahun mana lah faham sangat kan?. Jadi anak-anak aku tak pernah mempertikaikan kenapa dia tak ada itu dan ini. Kalau si akak merengek, si abang akan mengingatkan, 'kan ibu dah kata, kita bukan orang kaya.' :D

note : ibu ayah mana yang mahu melihat anak mereka susah dan tidak sempurna tapi itulah ujian dari Allah untuk kita 


Isnin, 17 Mac 2014

Pernah dengar atau lihat istana hinggap Kampung Danga?

Suatu ketika dahulu tiada siapa yang hendak ambil peduli atau kisahpun peninggalan warisan negeri itu perlu dipulihara atau tidak. Aku sendiri pun pada asalnya hanya mendengar cerita dari mulut orang dan juga dari adik-adik lelakiku yang rajin merayap hingga ke hujung tanjung dan bertemu dengan istana hinggap kuala danga, tidak berapa jauh dari rumah kami.

Tetapi ketika aku sudah bekerja dan bertemu dengan orang yang pernah tinggal di situ dan bekerja dengan sultan sebagai tukang kebun di istana itu dan berpeluang melihat sendiri potret yang diambil di hadapan tempat tersebut membuatkan aku teruja untuk melihat sendiri tapak tersebut dan aku berhasil menemuinya tapi malangnya, ketika itu istana hinggap yang diperkatakan dan yang dipotretkan telah hilang dari pandangan. Yang ada pada waktu itu hanya tunggul batu dan jeti nya sahaja tapi kini jeti tersebut pun telah lama lenyap dari pandangan. Persoalannya, kenapa kini baru nak sibuk cari ye? sedangkan kerajaan negeri sebelum ni tak pernah ambil kisah pun dan tempat tu tak pernah diwartakan sebagai tanah warisan atau gazet tertentu. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah orang-orang asli Kg Laut berkurun lamanya. Aku masih ingat pada suatu kejadian ini. Ketika itu aku sedang dalam perjalanan ke pusat bandar dan harus melalui Pantai Lido (sekarang dikenali Danga Bay). Jalanraya terhenti seketika kerana segerombolan orang-orang asli melintas jalan bersama 2 ekor anjing dan tombak di pikul di bahu masing masing tegak menuju ke istana hijau di atas puncak Bukit Serene. Ini sudah pasti arahan dari Sultan yang meminta mereka datang untuk menemui baginda pergi berburu.Sekarang ni mereka masih lagi menginap di situ tapi keadaan di sana dah pun moden dengan segala pembangunan.

Beberapa ketika tak lama dulu, sekitar bulan lepas tentang timbulnya spekulasi adanya istana hinggap ke dua di kawasan Sungai Melayu, Gelang Patah. Ada ditunjukkan gambar-gambar tentang tapak seperti rumah batu dan ada jeti dan sebagainya. Pendapat peribadi aku, setahu aku hanya ada satu sahaja istana hinggap di sekitar Danga dan yang itu memang ada buktinya (Allahyarham Pak Hamid Danga) tp selain daripada itu, aku rasa hanya cerita-cerita kosong sahaja kot. Masuk ni dah 2 orang bertanyakan aku hal yang sama. Kenapa tidak ditanyakan terus pada pihak istana ye? terutama bagi orang kuat Yayasan Warisan Johor sendiri? Takde ke dalam arkib kita gambar istana tersebut atau di dalam muzium mini EC (English College) yang memaparkan gambar-gambar tersebut?. Kalau aku tahu dulu nilai gambar tersebut, pasti aku dah snap satu dari rumah Kak Yah (anak allahyarham Pak Hamid). Maaf. aku tak de contact no akak tersebut sebab semenjak dia berhenti kerja dari syarikat, kami dah lama tidak berhubung. Aku rasa jika dia tahu fasal ni pun dia sendiri pasti tidak menyangka sekarang menjadi satu isu penting yang diperkatakan orang.


Selasa, 11 Mac 2014

ujian tuhan..nikmat sakit kembali lagi

Aku memang ada penyakit gastrik sejak dari sekolah rendah kerana masa kecil-kecil dulu memang payah untuk makan terutama sarapan pagi tapi menjelang dewasa aku antara orang yang tak pernah terlupa untuk mengambil sarapan walaupun hanya secebis roti atau segelas susu tapi sebagai manusia biasa adakalanya kita diduga dengan penyakit yang tidak dapat dihindari.

Minggu lepas aku diserang gastrik yang teruk sehingga pitam di suatu majlis di kawasan kejiranan aku. Puncanya, hari sebelum itu jadual harian aku memang padat dan berkemungkinan aku terlambat makan tengahari dan makan malam ditambah pula dengan kepenatan badan. Pagi pada hari kejadian tu, aku menghadiri majlis kesyukuran sempena kejiranan aku ni buat majlis kahwin. Semasa orang lain sibuk berselawat sambil berdiri, aku dah rasa tak sedap badan, berlalu mencari kerusi. Fikirku, dengan duduk dapat meredakan sakit tapi sebaliknya berlaku bila peluh semakin menitis-nitis, dada semakin sesak untuk bernafas dan kedua belah tanganku semakin sejuk dan kram. Mujur le ada kakak-kakak kat situ perasan dan terus dapatkan aku. Dorang terus lap muka aku dengan air yassin dan bagi minum air dan papah aku duduk kat dalam. Bila dorang dapat tahu aku ada gastrik, puas lah disuap aku dengan makanan tapi aku taknak. Masalahnya bukan aku lapar tapi perut aku sebu dan sakit sangat. Apalagi, yang aku makan semua terkeluar semula. Tengahari tu aku diserang demam dan terbaring seharian di rumah sementara suami menjaga anak-anak. Syukur alhamdulillah dikurniakan suami yang bertanggungjawab dan banyak membantu cuma mulut dia membebel-bebel marahkan aku yang katanya degil tak nak makan.

Hari berikutnya, bersama suami dan anak-anak ke pasaraya besar untuk membeli barang dapur. Pada awalnya aku masih bolehlah berjalan melayankan kerenah anak-anak dan suami tapi di pertengahan jalan, aku rasa sakit perut aku kembali menyerang. Rasa macam nak pitam pun ada. Suami yang perasan keadaanku mencadangkan kami ke klinik panel. Di klinik doktor berikan suntikan. Kalau nak ikutkan kata doktor tu, aku sepatutnya dihantar ke hospital sbb rasanya macam serius. Jarang orang gastrik boleh pengsan katanya. Kalau aku duduk hospital, sapa le nak menyusukan si kecik aku tu. Jadi aku ambil risiko tak nak pergi, cuma makan ubat sahaja. Doktor kata aku tak demam tapi balik dari klinik tu, aku terus demam sampai mengigil-gigil. Tak pasti samada demam tu akibat sakit gastrik atau sebaliknya tapi memang sangat menyakitkan. Waktu tu aku teringat kisah salah seorang jiran aku yang baru saja meninggal 2 hari lepas akibat pembedahan akibat gastrik teruk. Jiran aku tu dah berumur. Hampir 80an sedangkan aku baru saja 30an dan anak-anak pun masih lagi kecil. Mohon dipanjangkan umur supaya aku tidak terkilan semasa menutup mata nanti tapi kalau dah takdir tuhan, tiada sapa yang dapat menghalangkan?