Khamis, 31 Julai 2014

salam aidilfitri semua..

Assalamualaikum warah matullah,


Salam Aidil fitri semua. Hampir 5 hari Aidil fitri berlalu tapi baru hari ini ada kesempatan utk menulis di blog sendiri. Seperti tahun-tahun sudah, malam raya adalah malam yang paling sibuk dan memenatkan bagi seorang ibu seperti aku kerana harus berada di dapur lebih dari 2 jam kerana sibuk menyediakan juadah untuk hari raya esok. Tapi tahun ini, kami sangat bersederhana. Hanya 2 juadah simple dan kuantiti juga kami kurangkan. Kami tak mahu macam tahun-tahun lepas di mana banyak sangat juadah yang dibuat hingga akhirnya terbasi dan terbuang begitu sahaja.

Dari segi persiapan lain, rasanya tahun ni lebih kepada anak-anak sahaja sebab si abg sudah mula berpuasa penuh untuk pertama kalinya sementara si akak pula tahun 3. Si kecik pula kali pertama beraya sedondon dgn akak dan abangnya. Alhamdulillah, seronok melihat kegembiraan 3 beradik ni yang teruja nak sambut puasa dan raya. Cabaran semasa bersahur, semasa berbuka dan bersekolah sewaktu Ramadhan dan juga beberapa peristiwa lain pastinya menjadi memori keluarga kami yang paling indah.

Antara yang masih ku ingat adalah bila tiba penghujung Ramadhan bila si akak dan si abg sudah mula bertanya bila Aidil Fitri akan tiba dan bagaimana nak tahu tarikhnya?

Afiqah : ibu.kenapa kita perlu tgk anak bulan baru boleh raya? Bulan tu beranak setahun sekali ker?

Afiq : ibu. Td org tv tu ckp kene tgk anak bulan baru boleh raya. Anak bulan tu kuar pg ker mlm. Kenapa mesti mlm, kenapa tak pg? Kita nk tgk guna apa? Kita mana ada teropong?

Pening kan nak jawab tapi sebagai seorang ibu kena lah bijak menjawab dgn penuh kelogikan dan boleh difahami mereka. Jika tidak dia akan tanya lagi benda yang sama berulang kali.

Tahun ni juga aku mengambil cuti paling pendek dalam sejarah. Raya ke 4 dah naik kerja. Ahaks. Konon-konon macam nak save cuti dan rehat sebab di pejabat  pun bukannya ada kerja pun kan time cuti panjang cam ni? tapi cabarannya adalah apabila perut mula lapar. Susah betul nak cari kedai makan Melayu utk merasa nasi dan lauk pauk. Nak tak nak terpaksa le bawak bekal ke pejabat, jika larat makanlah kat restoran mamak 24 jam yg berhampiran. Sekali dua bolehlah kan, tapi kalau hari-hari larat ker? 

 Tahun ni juga tak der plan nak buat 'open house' atau 'close house'. Mungkin disebabkan aku dah mula bekerja dan agak sibuk dengan anak-anak yang bersekolah tidak memungkinkan aku untuk memenatkan lagi diri, sementelah ramai kawan rapat telahpun pulang ke lokasi masing-masing. Tak sempat pun jumpa time raya ni. Mungkin tahun depan jika ada masa mungkin boleh berjumpa.

Di kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan salam aidilfitri buat anda semua dan aku faham waktu dan saat ini ramai warga kota telahpun pulang ke bandar semula setelah seminggu di kampung halaman. Semoga selamat pulang dan bersabar jika harus menempuh perjalanan yang agak lama. 






Rabu, 16 Julai 2014

Mereka juga manusia seperti kita

Salam semua,

2 hari lepas akhirnya dapatlah juga aku melawat 2 keluarga susah seperti yang dirujuk oleh ketua zon aku iaitu kak Ji. 

Keluarga pertama merupakan pasangan warga emas yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik yang perlu menjalani dialisis 3 kali seminggu. Si isteri pula ada penyakit tambahan iaitu darah tinggi dan kencing manis. Mereka berdua tidak bekerja kerana masalah kesihatan yang dihadapi dan tinggal bersama ibu yang sudah tua dan uzur. Hidup mereka berdasarkan belas ihsan jiran dan adik beradik. Mereka ada dapat pertolongan Baitul Mal utk dialisis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi jumlahnya sangat sedikit dan tidak tetap. Mereka tidak mengeluh malah bersyukur sekurang-kurangnya ada juga bantuan utk mereka dan harus berjimat cermat dgn duit yang diberi utk berulang alik menaiki teksi ke pusat dialisis.


Untuk keluarga kedua pula, merupakan ibu tunggal kepada 5 orang anak tetapi hanya 4 daripadanya dijaga olehnya. Dengan pendapatan bulanan yang kecil serta anak yang ramai, memang terasa perit menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak sendirian. Mujur ketika ini dia tinggal bersama ayah dan ibu yang banyak membantunya dari segi kewangan dan keperluan lain. Melihat wajah anak-anak kecil ini terasa sayu dibuatnya. Anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan. Dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari sekolah atau badan berwajib lain serta nafkah dari bekas suami. Dia berharap akan adalah bantuan dari segi kewangan yang dapat meringankan beban yang digalasnya.

Berdasarkan daripada temubual dari kedua-dua keluarga tersebut dan kes sebelum ini, nyata masalah kemiskinan tegar bandar pada kadar membimbangkan. Apatah lagi apabila fungsi bapa atau ayah yang sepatutnya mencari nafkah dan membangunkan keluarga gagal. Apabila ketua keluarga gagal, maka huru haralah institusi kekeluargaan tersebut. Itu yang akan menjadi masalah sosial dalam masyarakat Melayu kita di mana anak-anak jadi terabai, masalah ketidakstabilan emosi terhadap ibu dan anak-anak yang ditinggalkan, masalah kewangan, dan lain-lain.

Aku tak janji jalur pelangi pada mereka. Aku juga perlu menyediakan laporan berserta gambar sebelum diedarkan samada menerusi media sosial di internet atau menghantar salinan laporan ke jabatan kerajaan yang terbabit. Semoga  di bulan yang baik ini, ada manusia yang baik hati yang ingin cuba membantu mereka.



Ahad, 13 Julai 2014

Kes anak-anak yang terabai.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat illahi. Diam tak diam dah dekat 16 Ramadhan rupanya kita berpuasa. Macam sekejap saja masa berlalu. Ok, aku bukan nak cerita persiapan raya tetapi nak cerita fasal kes anak-anak yang terabai. Seperti yang pernah aku ceritakan fasal aku cuba membantu 2 orang budak terabai tu?. Alhamdulillah, respon yang aku dapat dari fb sangat memberansangkan. Ramai dermawan turut membantu. Ada yang dermakan baju-baju terpakai yang masih molek dan sesuai untuk dipakai mereka. Ada yang dermakan baju sekolah dan ada juga yang dermakan baju raya serta kasut raya serta ada yang dermakan wang ringgit. Syukur sangat-sangat. Aku yang tolong berikan bagi pihak pun turut merasa gembira melihat 2 beradik ni tersenyum girang. Iyalah, mereka tak pernah merasa pergi bershopping dan diberi peluang memilih pakaian baru untuk raya jadi kepenatan hari tu tak terasa. Aku akan sharekan beberapa keping gambar semasa program beli baju raya baru-baru ini.

Alhamdulillah, banyak bantuan yang diterima selepas cerita mereka aku edarkan di fb. Guru-guru sekolah mereka juga turut hadir untuk bertanya khabar dan melihat sendiri suasana kediaman mereka. Cuma aku kesalkan sikap ketua kampung mereka yang aku boleh kategorikan sebagai sombong sebab tidak mahu bertemu orang kampung sendiri bertanyakan khabar atau amik tahu sekurang-kurangnya tentang hal sekeliling. Takpelah, itu akan aku adukan kepada badan bertanggungjawab. Yang penting, nasib dua beradik ni harus dibela. Aku dah pergi pejabat agama dan mereka minta aku rujuk ke Biro Bantuan Guaman. Aku juga dah hantar permohonan JKM dan sedang dalam proses.




Isnin, 7 Julai 2014

Salam ramadhan buat semua...

Salam semua,

Dah lama tak menulis. Terlalu sibuk atau buat-buat sibuk, tak tahulah tapi semenjak blogspot pun diban dari senarai internet access kat ofis, rasanya payau je hidup ini.hehehehe.

Tahun ini alhamdulillah, walaupun ramalan cuaca mengatakan bumi Malaysia akan dilanda fenomena El Nino yang akan mengubah cuaca ke tahap panas dari biasa tapi Allah Maha Pengasih. Dari awal Ramadhan hinggalah ke hari ke 10 ni, syukur alhamdulillah. Ada masanya panas tapi kemudian Dia datangkan hujan, maka pergilah jerebu serta kekotoran serta kepanasan hamba-hambaNya ini. Syukur sangat-sangat.

Perkembangan terkini tentang aku? tak de yang menarik untuk diceritakan cuma aku masih lagi aktif membuat kerja amal. Perkara yang baik macam ni biasanya terjadi tanpa dirancang pun. Buat masa ni aku sedang berusaha membantu satu keluarga ni yang juga kariah di tempat aku. Kisahnya bermula macam ni..

Selama ni aku tak pernah nak ambil tahu atau nak kepoh-kepoh hal keluarga orang sehinggalah terjadi peristiwa ini di depan mata. Jiran aku buat majlis yassin dan ada seorang makcik ni, memang rajin ikut majlis-majlis keagamaan serta membawa 2 orang cucu perempuan bersamanya. Semasa makan-makan tu, aku perasan anak jiran kat sini mengejek-ngejek cucu makcik tu dengan mengatakan mereka berpakaian buruk, lusuh dsbnya. 2 orang cucu makcik tu tidak sedikitpun marah atau sedih dan hanya terdiam sahaja bila diperlakukan begitu membuatkan aku tertarik utk mengetahui lanjut mengenai mereka. Aku sebenarnya tak tahu sangat fasal makcik ni walaupun selalu berjumpa dan bertanya khabar. Hati aku mcm terdetik nak tahu latar belakang mereka dan ingin membantu. Aku pun berbual kosong dengan makcik tu dan mintak no telefon dan alamat rumah mereka dengan harapan ingin membantu mereka. 

Dipendekkan cerita, aku berpeluang melihat sendiri kehidupan makcik dan 2 orang cucunya. Anak-anak ini boleh dikategorikan sebagai anak terbiar sebab sejak mak ayah mereka bercerai, mereka dijaga oleh nenek dan kedua ibu bapa mereka jarang menjenguk kebajikan mereka apatah lagi memberi duit sekolah. Mereka bolehlah dikategorikan sebagai miskin bandar sebab punya rumah tapi sudah daif atau sudah kelihatan uzur. Punya kereta tp hanya terdampar di rumah. Cabaran mereka adalah tiada sumber kewangan dan buat masa ini mengharapkan sumbangan dari anak bongsu makcik ni tapi itupun tidak banyak.

Aku cuba dapatkan bantuan dari rakan-rakan yang pakar dalam membantu orang ni dan alhamdulillah, dengan bantuan 'guidelines' dari mereka barulah boleh terbuka minda aku untuk melakukan apa yang sepatutnya.

Aku berjaya menghubungi pihak sekolah budak dua orang ni untuk sebarang bantuan yang mereka layak dari pihak sekolah dan maklum balas cikgu terbabit sangat positif dan cuba membantu mendapatkan bantuan KUAM dan RMT . Pada masa yang sama aku cuba kumpulkan baju-baju lama anak dara aku dan rakan sepejabat untuk diserahkan ke anak-anak tersebut dan alhamdulillah mereka sangat gembira. Rakanku, Roxhana dari Kelantan, selain membimbing turut sama menyumbang bantuan kewangan untuk membelikan baju sekolah yang baru. 

Buat masa ni, aku sedang mengumpulkan maklumat dan data untuk cuba membuat permohonan bantuan dari Baitul Mal dan JKM. Walau tak banyak tapi sekurang-kurangnya adik adik ini dapat teruskan kehidupan dan persekolahan. Rakan sekerja aku ada juga memberikan panduan tentang apa yang harus aku lakukan pada anak-anak ini. Laporkan saja ke Jabatan Agama Islam supaya bapa kepada anak-anak ini diseret ke muka pengadilan dan dapatkan tuntutan nafkah tertunggak. Mereka bukan anak yatim piatu, tetapi anak-anak yang diabaikan oleh ibubapa yang tidak bertanggungjawab. Kesian kan. 

Oklah..ada masa nnti aku menulis lagi. doakan usaha aku berjaya. membantu orang yang memerlukan.