Rabu, 16 Julai 2014

Mereka juga manusia seperti kita

Salam semua,

2 hari lepas akhirnya dapatlah juga aku melawat 2 keluarga susah seperti yang dirujuk oleh ketua zon aku iaitu kak Ji. 

Keluarga pertama merupakan pasangan warga emas yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik yang perlu menjalani dialisis 3 kali seminggu. Si isteri pula ada penyakit tambahan iaitu darah tinggi dan kencing manis. Mereka berdua tidak bekerja kerana masalah kesihatan yang dihadapi dan tinggal bersama ibu yang sudah tua dan uzur. Hidup mereka berdasarkan belas ihsan jiran dan adik beradik. Mereka ada dapat pertolongan Baitul Mal utk dialisis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi jumlahnya sangat sedikit dan tidak tetap. Mereka tidak mengeluh malah bersyukur sekurang-kurangnya ada juga bantuan utk mereka dan harus berjimat cermat dgn duit yang diberi utk berulang alik menaiki teksi ke pusat dialisis.


Untuk keluarga kedua pula, merupakan ibu tunggal kepada 5 orang anak tetapi hanya 4 daripadanya dijaga olehnya. Dengan pendapatan bulanan yang kecil serta anak yang ramai, memang terasa perit menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak sendirian. Mujur ketika ini dia tinggal bersama ayah dan ibu yang banyak membantunya dari segi kewangan dan keperluan lain. Melihat wajah anak-anak kecil ini terasa sayu dibuatnya. Anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan. Dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari sekolah atau badan berwajib lain serta nafkah dari bekas suami. Dia berharap akan adalah bantuan dari segi kewangan yang dapat meringankan beban yang digalasnya.

Berdasarkan daripada temubual dari kedua-dua keluarga tersebut dan kes sebelum ini, nyata masalah kemiskinan tegar bandar pada kadar membimbangkan. Apatah lagi apabila fungsi bapa atau ayah yang sepatutnya mencari nafkah dan membangunkan keluarga gagal. Apabila ketua keluarga gagal, maka huru haralah institusi kekeluargaan tersebut. Itu yang akan menjadi masalah sosial dalam masyarakat Melayu kita di mana anak-anak jadi terabai, masalah ketidakstabilan emosi terhadap ibu dan anak-anak yang ditinggalkan, masalah kewangan, dan lain-lain.

Aku tak janji jalur pelangi pada mereka. Aku juga perlu menyediakan laporan berserta gambar sebelum diedarkan samada menerusi media sosial di internet atau menghantar salinan laporan ke jabatan kerajaan yang terbabit. Semoga  di bulan yang baik ini, ada manusia yang baik hati yang ingin cuba membantu mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan