Isnin, 28 April 2014

Projek amal #2 akan datang tak lama lagi.

Alhamdulillah. Belum pun aku tetapkan tarikh utk memulakan projek ke 2. Dah ramai yang hantar nama untuk dimasukkan ke dalam senarai penderma. Apa yang mereka nak dermakan tu tak pastilah tapi harap-harapnya akan memberi banyak manfaat untuk para penerima iaitu anak-anak yatim, anak yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan mereka. 

Aku telah diberi tugasan utk recce lokasi rumah anak-anak yatim tersebut tetapi memandangkan jadual aku agak sibuk minggu ini jadi aku mintak rakan sekerja aku sahaja yang buat tinjauan awal. Tapi dari apa yang aku dengar, kebanyakan anak-anak di rumah kebajikan yang ini agak daif dibandingkan rumah kebajikan yang aku telah lawati minggu yang lalu. Tahap daif macam mana aku pun tak boleh nak tafsirkan kecuali aku melihat dengan mata kepala sendiri. Adakalanya sesuatu tempat tu nampak daif sbb kurang pengawasan atau kurang perhatian dari pihak pengurusan mungkin disebabkan kekurangan kakitangan untuk membantu atau kurang peruntukan untuk penambaikan.

Insyaallah, jika tiada aral untuk projek shopping raya bagi kanak-kanak ini juga akan dilakukan. Ada beberapa orang rakan sekerja aku yang dah beri nama awal-awal untuk membantu merealisasikan impianku. Sambil menderma sambil meringankan tulang dan memberi sedikit kasih sayang pada anak-anak ini juga. Sekurang-kurangnya mereka (budak ofis aku yang masih bujang ni) ada timbul kasih sayang sebab masing-masing pun akan mendirikan rumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri jugak nanti.

Untuk itu..nantikan saja perkembangan terkini nanti. Tak lama je lagi..bulan Mei je ni. Semoga Allah memberkati usaha kami.






Ahad, 20 April 2014

Ulasan lawatan ke rumah kebajikan anak-anak yatim dan miskin di Raudatul Maryam

Aku rasa aku patut kongsikan dengan korang serba sedikit tentang lawatan aku tempohari. Ini sebagai memberi gambaran tentang bagaimana keadaan mereka dan juga pandangan peribadi aku dan rakan sekerja aku tentang tempat tersebut. Ini penting agar selepas ini sekiranya ada para penderma budiman ingin membantu mereka, dapat mendapatkan gambaran jelas tentang keperluan yang diperlukan. Jika tulisan ini akan menyinggung mana-mana pihak aku terlebih dahulu memohon ribuan ampun dan maaf ye. Tidak berniat buruk malahan sangat berharap sekiranya teguran tersebut dapat mendapat perhatian sewajarnya.

Pada 18/04/2014, sekitar jam 11.15am kami (aku dan rakan sekerja aku yg aku panggil 'Mak') tiba di teres 3 tingkat yang menempatkan asrama lelaki di Jalan Pulai 54, Tmn Pulai Utama. Tidak berapa jauh dari U Mall. Pada waktu tu, kelihatan para penghuni sibuk membaca dan menyiapkan kerja sekolah sambil dibantu oleh sekumpulan sukarelawan dari UTM. Kami diperkenalkan dengan isteri Ustaz Nasir. Ustaz Nasir ketika itu sedang sibuk di dapur memasak. 

Perbualan kami berkisar tentang bagaimana BAAYAM ditubuhkan dan latar belakang anak-anak ini. Tempat ni setakat ini belum didaftarkan dengan JKM kerana kesibukan masa dan tiada waktu untuk buat paper work tetapi telah berdaftar dengan SKM. Itulah cabaran utama yang dihadapi oleh penyelia merangkap penaung rumah ini iaitu Ustaz Nasir. Semua kerja beliau lakukan sendiri. Pertubuhan ini bukan tidak ada pasukan committeenya tetapi menurut Ustaz Nasir, mereka banyak memberikan komen tetapi tidak turut sama melakukan kerja bersama-sama sebagaimana yang beliau sendiri lakukan. Ustaz Nasir mengharapkan agar semua ahli kumpulannya sama-sama membantu dan bekerja bersamanya agar beban tersebut tidak terlalu berat. Setiausaha ke 7 beliau baharu sahaja meletak jawatan jadi sekarang tiada siapa yang boleh membantunya dari segi promosi, atau membuat 'paper work', banner atau update di dalam facebook.

Rakan aku mengesyorkan apa kata guna budak-budak UTM yang buat kerja amal ni daripada ramai-ramai ajar budak budak mengajar kita bahagiakan kepada dua kumpulan. Satu untuk mengajar mungkin dalam 7 orang dan baki 3 orang pula bantu Ustaz untuk menyiapkan paper work dan kerja-kerja menaip yang penting. Mereka kan ada kemahiran tersebut yang dipelajari di UTM? tapi Ustaz tak bersetuju sebab katanya mereka tiada pengalaman dan bukan buat benda tu full time. 

Begitu juga dengan urusan mengemas rumah seperti membasuh, menguruskan anak-anak ini dari awal subuh hingga malam, Ustaz ini lakukan sendiri kesemuanya tanpa ada pembantu. Kami dapat tahu di asrama perempuan ada 2 ibu tunggal bersama anak-anak mereka di situ. Kami telah cuba memberikan cadangan, apa kata gunakan sahaja 2 ibu tunggal tersebut untuk sama-sama membuat kerja rumah dengan membahagi tugas dan diberikan upah agar sekurang-kurangnya mereka dapat meringkan beban kerja ustaz tapi ustaz itu tidak setuju . Ustaz tersebut tetap mahukan orang yang boleh bekerja untuknya 24 jam tanpa merungut . Memang lah kerja amal memenatkan tapi jika tidak mahu mengagihkan kerja, sendiri yang akan penat dan akhirnya timbul tak puas hati dan sebagainya dan satu lagi mana ada orang nak bekerja tanpa henti dengan upah yang sedikit atas alasan buat amal tak boleh berkira? 

Aku dan rakan aku telah meng'offer' diri untuk membantu kerja-kerja penulisan dan berkaitan tapi Ustaz ni prefer kami jadi pelawat sahaja sebab dia hanya mahu org yg full time utk tempat tu. Kalau sesekali datang atau ujung minggu datang dia beranggapan orang itu tidak komited pada tempat tersebut. Jadi aku berpendapat, mungkin cara beliau menyebabkan ahli kumpulannya tidak menyenangi cara beliau. Bukan orang tidak mahu membantu, tapi ada orang harus bekerja untuk tambah pendapatan harian dan jika ada kelapangan baru datang. 

Banyak perancangan yang ingin dibuat oleh ustaz ini termasuk nak menyediakan pendapatan sampingan untuk golongan ibu-ibu tunggal terutama yang warga emas. Aku ada bagi pandangan apa kata bukak satu kelas memasak kuih muih atau kek ker sebab aku ada ramai kawan-kawan yang pakar dalam bidang tersebut tapi kata ustaz ni dia dah ada perancangan sendiri. 

Untuk mesyuarat bulan Mei nanti, dia akan umumkan ahli jawatankuasa baru untuk pertubuhan tersebut. Beliau berharap dgn tenaga baru nnti, akan ada perubahan dari segi pengurusan dan lain-lain.

Aku tak tahu apa pendapat kalian selepas membaca nukilan ini. Secara peribadi, aku tengok tempat tu tersusun, kemas dan tak menggambarkan seperti berada di asrama. Lebih seperti berada di rumah. Semua kelengkapan ada cuma tu lah kalau sorang sahaja yg menguruskan memang sangat memenatkan. 


Jumaat, 18 April 2014

Projek amal #1 sukses

Alhamdulillah, projek amal yang aku pernah war warkan sebelum ini telah berjaya dilakukan sebagaimana yang dirancang. Walaupun pada awalnya terus terang aku katakan rasa budget yg ada mcm tak cukup untuk beli barangan keperluan yang kita rancang tp tu lah orang kata kan, rezeki untuk anak yatim tu adalah barakah. Duit yg aku sangka tak banyak tu bukan sahaja dapat membeli semua keperluan yang kami dah target nak beli malahan boleh beli barang asas seperti beras, sabun basuh 4 kg 2 peket, shampoo badan 4 botol besar 4 liter, pad wanita 3 bundle, berus gigi sedozen dan ada lebih duit lagi. Subhanallah, Memang Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia lebih Mengetahui apa yang kita tidak tahu. 

Berikut aku lampirkan gambar barangan dulu. Target kami memang nak bagi barangan keperluan peribadi seperti panties dan bra utk anak-anak ini. Sesuatu yang orang selalu tak fikirkan. Aku pun adakalanya tak faham sebab bila cakap fasal derma barang aje pasti orang hanya fikirkan Al-Quran, telekung, kain pelekat atau kalau kata barang keperluan mesti fikir beras aje. Mereka pun manusia seperti kita juga. Kalau nak bagi bantuan bagilah yang benda yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya itu lebih afdal kan? daripada bagi benda yg sama sampai banyak-banyak tp tak digunakan pun tak guna jugak kan? 


ketika aku tiba pagi tadi, cuaca hujan lebat menyambut kedatangan kami. Dari luar pagar kelihatan ramai anak-anak sedang sibuk membaca dan membuat kerja sekolah dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan dari UTM. Dapat berjumpa dengan penyelia dan founder nya iaitu Ustaz Nasir dan berbual tentang sejarah penubuhan tempat ini dan bagaimana perkembangan tempat tersebut serta apa jenis keperluan yang mereka impikan. 

 


Jangan terkejut kalau aku katakan, Ustaz tersebut kata bantuan utama yang dia perlukan bukan kewangan semata-mata tetapi adalah bantuan tenaga sepenuh masa untuk mengendalikan 2 buah anak-anak yatim ini . Itu tidak termasuk bantuan untuk ibu-ibu tunggal kerana tempat ni bukan sahaja membantu anak-anak tetapi juga ibu mereka juga. Ada le kawan aku ni bagi cadangan tapi penyelianya ada perancangan sendiri. Jika keadaan mengizinkan, insyaallah aku pun nak join jadi volunteer di sini tapi hujung minggu sahajalah.

Surah at-Taubah, Ayat 130 yang tafsirnya: "Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi SEDEKAH (ZAKAT), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" (Surah at-Taubah:130).

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan ANAK-ANAK YATIM serta orang-orang miskin” (Surah Al-Baqarah:83).

Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada ANAK YATIM amat besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Begitu juga, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di Syurga bagi orang yang menjaga ANAK YATIM.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: “Penjaga ANAK YATIM daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam Syurga”. Malik (periwayat hadis) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu” (HR.Muslim).

Note : Alhamdulillah, selepas je aku post kat dlm fb, ramai yang menghubungi nak turut serta menyumbangkan untuk projek seterusnya. Insyaallah, akan menyusul tak berapa lama lagi. Lokasi selepas ini di Johor Bahru jugak tetapi di kawasan bandaraya.

Rabu, 16 April 2014

artikel kebakaran keluar di suratkhabar


Semalam keluar kat suratkhabar kejadian petir yang menyebabkan sekolah kebangsaan Kangkar Tebrau dan beberapa buah rumah kat rumah jiran di kejiranan aku.




[Kejadian dilaporkan berlaku  petang semalam di Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau yang mengakibatkan kebakaran teruk akibat disambar petir. Walaubagaimanapun, dilaporkan tiada pelajar berada di blok berkenaan. 

Selain dari sekolah berkenaan, panahan petir yang berlaku petang semalam juga telah menyebabkan beberapa rumah di Jalan Rumbia Taman Daya turut terbakar. ]Sumber : Metro

Hari yang menduga perasaan..

Petang semalam (14/04/2014) sepatutnya aku tiba rumah awal dari biasa kerana aku amik cuti 1/2 day petang sebab ada temujanji di klinik kesihatan berdekatan rumah. Jadi hari tu selesai urusan terus ambil anak dari rumah mama. Memang timing cantiklah. Setelah mengangkut barang dan anak-anak aku terus hantar anak dara aku gi menggaji. Masa tu cuaca memang dah gelap dengan petir sambung menyambung dan hujan pun turun dengan lebatnya. Perkara biasa lah kalau hujan lebat ni, paras air akan naik terutama di tempat-tempat yang rendah di mana air bertakung dan boleh menyebabkan banjir kilat. Bayangkan di highway boleh banjir. Aku tawakkal dalam hati aje dan redah je air tu walaupun parasnya agak tinggi. Teringat pesan suami agar berhati-hati semasa meredah air, gunakan gear rendah sahaja dan jangan kelam kabut.

Lepas je meraduk air, fuh lega sbb enjin tak masuk air sedangkan banyak kereta tersadai di sana sini. Ingatkan siksa aku dah lepas. Rupa-rupanya banyak halangan menanti di depanku pula. Masa tu hanya dapat berdoa banyak-banyak agar kami sekeluarga dapat tiba di rumah dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecelakaan.

Aku biasanya melalui jalan kawasan industri untuk tiba di kawasan rumahku tapi memang agak malang aku stuck dlm jam kerana ada pokok tumbang dan simpang nak masuk ke situ ditenggalami air. Jadi tak de kereta boleh keluar atau masuk jalan tersebut sehingga jengkaut mengalihkan pokok tersebut. Kami dinasihatkan patah balik dan cari jalan alternatif lain. Masalahnya aku cam fobia nak patah balik melalui air kat highway tu, dahlah jam, paras air semakin naik pula tapi kerana memandangkan itu sajalah jalan pulang jadi tawakkal je lah.

Setiba di satu kawasan ni, anak-anak aku menjerit, katanya ada rumah terbakar di sebelah kiri lebuhraya. Aku pun pandang. Rupanya bumbung Sekolah Rendah Kangkar Tebrau yang terbakar walaupun hujan renyai petang tu. Mungkin kene sambar petir le kot. Memang malanglah sekolah tu sebab aku patah balik dari situ pun sebab jam kerana banjir kilat dan pokok tumbang jadi aku rasa memang bomba tak dpt lalu lah kawasan tu. Aku pandang kanan pula, air memang naik tinggi dan hanya kenderaan berat sahaja boleh lalu tp ada juga kereta yang berani sangat nak meraduk air walaupun paras air di tingkap kereta. Gila kentang!jangan tanya aku apa terjadi pada kereta tu kemudian, aku pun tak nak tengok sbb aku dah boleh agak impaknya.

Setiba di susur masuk ke taman aku, rasa cam ha..dh tak jauh dah rumah kita tapi alangkah malangnya terpaksa pula meredah jam kat lampu isyarat yang rosak. Aduh! sampai tak boleh bergerak lansung. Ke depan tak boleh, ke belakang tak boleh tp mujur aku di lane kiri jadi tak de lah risiko utk berdentum ngan kenderaan tu dpt dikurangkan. Lepas je siksa tu..ada lagi ler pula jam di traffic light berikutnya. Sampai anak aku pun mengeluh, bilalah nak sampai rumah ni. Perut pun dah lapar, cuaca sejuk dan semakin gelap. Aku sempat singgah di kedai belakang rumah utk beli mee kuning (laluan depan rumah tak boleh lalu sbb jam tak gerak, aku guna laluan lain dan patah balik lalu jalan dalam utk ke rumah). Setiba di rumah pula, aduhai..penuh kereta kiri kanan. dah tu depan rumah boleh le pula ada kereta sapa tah parking di situ. Aku pun park luar je lah dan suruh anak aku masuk ke dalam rumah sementara aku mencari sapa le tuan punya kereta tu kan. Aku tengok jiran aku semua keluar rumah walaupun dengan tuala di kepala dan berkaki ayam. Ada benda yang pelik ker berlaku? kemudian aku pun bertanya. Dorang cakap lorong bawah rumah aku terbakar kene sambar petir. Bila mendongak, baru perasan ada beberapa anggota bomba sedang panjat bumbung yang rompong (berlubang) akibat terbakar. Inalillah..tak sangka dalam ribut petir dan hujan tadi bukan setakat sekolah terbakar tp rumah jiran aku sendiri pun turut terbakar. Aku baru teringat rumah tu didiami oleh seorang anak dara yang baru kematian ibunya beberapa lalu. Mujur le dia tak apa-apa dan jiran jiran sempat membantu menyelamatkan barangan dan memadamkan api sbb bomba lewat sampai.

Setiba di rumah pula, baru aku perasan kipas siling dan termal pot aku tak berfungsi. Mungkin akibat kene sambar petir. Aduhai..terpaksa le beli baru.

Ahad, 6 April 2014

Semoga Dipermudahkan




Orang kata kalau nak menderma tak perlu tunggu kaya atau sempurna untuk melakukannya. Yang penting adalah keikhlasan hati kan?<- ini kawan aku yang kata. 

Biasanya aku hanya membantu menyumbangkan wang untuk sebarang projek amal yang dikendalikan oleh kawan-kawanku (terutama di Kuala Lumpur) kerana mereka ada organisasi sendiri dan lebih sistematik serta banyak tangan yang turut membantu. 

Kini tibalah masa untuk diri sendiri memulakan projek amal tersebut, hasil inspirasi dari rakan sekerja aku gak.Sebagaimana yang pernah aku war warkan sebelum ni tentang projek sumbangan kepada anak-anak yatim di kawasan Johor Bahru, akan dimulakan sebelum bulan puasa tahun ini. Setelah mencari di sana sini akhirnya aku dan rakan-rakan sekerja bersetuju untuk memilih satu rumah anak yatim di Pulai Utama, Johor Bahru untuk projek amal sulung kami.

Pada awal aku war warkan kepada rakan-rakan fb, ramai yang memberikan senarai nama rumah anak-anak yatim seluruh Malaysia dan ada juga di luar negara tapi oleh kerana ini adalah projek sulung dan sudah semestinya mengimpikan ia berjaya dan menepati sasaran jadi sebagai seorang yang prihatin kita perlu bantu mereka yang didepan mata dahulu sebelum melangkah jauh ke luar sempadan, betul kan? Lagipun fokus kami untuk membantu golongan kanak-kanak ini dan sekiranya dipermudahkan Allah, kami akan mengembangkan lagi bantuan kepada golongan lain pula.

Aku akan kemas kini dari semasa ke semasa tentang projek ini. Buat masa ini sumber dana adalah dari poket sendiri yang kami tong-tong bersama rakan-rakan sekerja. Tidak banyak tapi diharapkan dapat menggembirakan mereka semua